GEORGE TOWN: Berang disaman, seorang penunggang motosikal bertindak memaki hamun anggota polis trafik di Ayer Itam, di sini, yang video mengenainya tular di media sosial.
Akibatnya, dia ditahan dan kini direman tiga hari sehingga 5 Oktober untuk tindakan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kejadian berlaku pada 6.45 petang semalam, ketika lelaki berusia 25 tahun itu ditahan anggota trafik selepas melanggar lampu isyarat merah di Lebuhraya Thean Teik, berhadapan sebuah pasar raya.
“Semasa anggota mahu mengeluarkan saman terhadap suspek, lelaki itu tiba-tiba berang dan memaki hamun serta mengeluarkan perkataan kesat.
“Susulan itu, anggota membuat laporan pada hari sama dan suspek ditangkap di Taman Terubong Jaya pada 10.30 malam (semalam),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhemah bagi menjamin keselamatan orang awam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.