Tumpuan :
Jenayah

Tujuh suspek kes curi kabel, cuba langgar polis ditahan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki berusia 24 hingga 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, selepas hampir melanggar anggota polis yang sedang bertugas.

Ujarnya, kejadian berlaku di Manjalara, Kepong, sekitar 5.15 pagi pada 4 Disember lalu, ketika suspek sedang melakukan jenayah curi kabel.

“Anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang melakukan rondaan terserempak dengan kenderaan dalam keadaan mencurigakan, pihak polis mengarahkan kenderaan tersebut berhenti bagi tujuan pemeriksaan tetapi kenderaan suspek terus memecut laju dan hendak melanggar anggota polis yang bertugas.

“Keadaan ini menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul, hari ini.

Jelas Sukarno, bertindak atas maklumat dari 4 Disember sehingga 8 Disember lalu, kesemua mereka ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang.

Semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan tujuh rekod melibatkan dadah.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati kesemuanya positif dadah.

Kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini untuk pertuduhan di bawah 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas-tugas penjawat awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini