comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tujuh lelaki tempatan ditahan menyamar anggota polis, samun warga asing

SHAH ALAM: Tujuh lelaki tempatan ditahan dipercayai menyamar sebagai anggota polis seterusnya menyamun seorang warga Bangladesh dalam kejadian di sebuah flat di Seksyen 25 dekat sini, minggu lalu.

Lima suspek berusia 39 hingga 54 tahun termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai dengan nama ‘Wira Tempang’ itu ditahan di sekitar Shah Alam pada Isnin lalu.

Manakala dua lagi lelaki, ditahan di Pelabuhan Klang sekitar jam 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya terdahulu menerima laporan daripada mangsa berkenaan kejadian itu pada jam 9.34 malam,19 September lalu.

Katanya, mangsa yang juga peniaga melaporkan dia disamun sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.

“Kejadian itu berlaku ketika mangsa berseorangan di perkarangan hadapan flat sebelum didatangi kumpulan lelaki yang bertindak memukul serta merampas wang tunai berjumlah RM7,000 serta dua telefon bimbit milik mangsa.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menangkap lima suspek di sekitar daerah ini kira-kira jam 9 malam, Isnin lalu.

“Untuk makluman, kita baru sahaja menahan dua lagi suspek lelaki berusia 23 dan 24 tahun dipercayai turut terbabit dalam kes ini di Pelabuhan Klang kira-kira jam 3 petang tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketua kumpulan yang dikenali sebagai ‘Wira Tempang’ berusia 46 tahun dan bekerja sebagai penarik kereta serta mempunyai satu rekod jenayah.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat bukan anggota polis dan tiada penglibatan anggota polis dalam kejadian ini.

Jelasnya, lima suspek berkenaan direman tujuh hari sehingga 30 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan sekiranya mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat KesInspektor S Nawintran di talian 016-2052314,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini