comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan kerani wanita disyaki cuba rompak kedai emas

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Polis menahan seorang kerani wanita berusia 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian cubaan merompak kedai emas di sebuah pasar raya di Ayer Keroh kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, saspek yang sedang hamil itu ditahan di rumahnya di Kuala Linggi, kira-kira jam 5 petang semalam.

“Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 13 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu.

“Wanita yang masih bersuami dan mempunyai dua anak itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, wanita yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu kini ditahan reman sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan.

Kes berkenaan, kata beliau, disiasat dibawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak menggunakan senjata.

Sabit kesalahan ujarnya, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Dalam kejadian kelmarin, polis memburu seorang wanita berjubah kerana disyaki cuba merompak kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Ayer Keroh.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, wanita yang berpelitup muka itu menyamar sebagai pelanggan sebelum mengacukan sebilah pisau ke arah seorang jurujual kedai emas berusia 16 tahun.

Wanita terbabit bagaimanapun berjaya melepaskan diri ketika dikejar beberapa pekerja lelaki di pasar raya berkenaan.

Loading...
Terkini