Tumpuan :
Jenayah

Tikam ibu saudara: Remaja perempuan disambung reman 3 hari

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah diiringi anggota polis pada jam 8.20 pagi.

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini, membenarkan sambungan tempoh tahanan reman selama tiga hari terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki menikam ibu saudaranya pada Jumaat lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula esok sehingga Khamis ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah diiringi anggota polis pada jam 8.20 pagi.

Suspek ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai, Jumaat lalu.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumah bersama anaknya berusia lima tahun yang sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Helmi Aris berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.

Ekoran itu, suspek tiba-tiba dipercayai bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya.

Mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini