Tumpuan :
Jenayah

Tiga suspek ditahan, kes wanita maut ditikam dengan gunting

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemukan dengan kesan tikaman di dalam kereta Perodua Alza di Taman Ungku Tun Aminah di sini, Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemukan dengan kesan tikaman di bahagian dada, muka dan lengan dalam kenderaan itu pada 1 Disember lalu.

Katanya, tiga individu ditangkap pada 11 Januari berikutnya oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Suspek membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 48 tahun yang ditahan di kawasan Tampoi, Johor dan Setiawan, Perak.

“Hasil siasatan, polis merampas sebahagian gunting yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa, selain sepucuk pistol bersama 48 butir ball bearing yang disembunyikan di kawasan perumahan di Tampoi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut Kumar, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan pertuduhan sudah dikeluarkan.

“Ketiga-tiga suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

“Salah seorang daripada suspek juga berdepan dua pertuduhan lain iaitu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya yang memaklumkan ketiga-tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses pendakwaan dan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah boleh disalurkan ke talian Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini