comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga nelayan warga Myanmar ditahan dalam bot ketika khayal

Foto Ihsan APMM

SEKINCHAN: Tiga nelayan warga Myanmar yang sedang dalam keadaan khayal ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor di kedudukan 13 batu nautika barat daya Sekinchan, di sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata kesemua lelaki yang terdiri daripada seorang tekong dan dua kru masing-masing berusia 33 hingga 41 tahun dicekup ketika menaiki bot nelayan tempatan pada jam 10.40 pagi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bot dinaiki ketiga-tiga lelaki terbabit menjalankan aktiviti perikanan selama dua hari.

“Pemeriksaan lanjut telah menemukan dua keratan penyedut minuman serta satu plastik jernih mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat lima gram dan bong kaca yang diletakkan di tempat tidur tekong.

“Turut ditemukan, kira-kira 100 kilogram ikan campur dan peralatan perikanan iaitu pukat tunda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siva Kumar berkata, kesemua lelaki itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dibayar RM70 sehari untuk bekerja di bot berkenaan.

“Bot, tekong dan kru bersama bahan terlarang dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Loading...
Terkini