comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga ditahan ambil upah simbah cat, baling molotov cocktail

Foto hiasan

KULAI: Seorang wanita antara tiga individu yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengambil upah daripada Ah Long untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang sekitar daerah ini.

Ketiga-tiga suspek, warga tempatan berusia antara 25 hingga 43 tahun itu ditahan kelmarin, ketika serbuan antara jam 9 pagi hingga 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata suspek ditahan ketika sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan tiga serbuan berasingan di sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

“Masing-masing ditahan di rumah dan tepi jalan selepas disyaki terbabit dalam kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan daerah Kulai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah sehingga RM1,300 untuk menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat pembabitan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah ini,” katanya.

Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini direman enam hari sehingga 16 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun yang sama.

Loading...
Terkini