Tumpuan :
Jenayah

Tiga beranak ditahan, dadah bernilai lebih setengah juta dirampas

Antara dadah dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Muar, Johor dan menahan tiga beranak dipercayai sindiket pengedar dadah Ahad lalu. – FOTO: IPK Melaka

MELAKA: Polis Melaka menahan tiga beranak dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih setengah juta di sebuah kediaman di Muar, Johor, Ahad lalu.

Suspek lelaki berusia 49 tahun itu ditahan bersama dua anaknya yang juga lelaki masing-masing penuntut sebuah kolej swasta dan pelajar sekolah menengah kira-kira jam 8 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Jasin.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan intipan berhubung kegiatan pengedaran dadah rentas negeri dilakukan suspek di kawasan Jasin, Melaka dan Muar, Johor.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM556,271.

“Antara dadah yang dirampas adalah heroin seberat 23,372 gram; syabu seberat 10,200 gram dan pil Erimin 5 sebanyak 275 biji.

“Kita juga turut menyita harta milik semua individu yang ditahan yang dianggarkan bernilai RM56,050 iaitu sebuah kereta jenis Toyota Camry, barang kemas dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Nazri berkata, keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan dianggarkan bernilai RM612,321.

“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan 2024 di sekitar kawasan Muar, Johor serta Jasin, Melaka dan semua dadah yang dirampas ini dipercayai bagi pasaran tempatan yang boleh digunakan oleh seramai 442,860 orang penagih.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati semua individu yang ditahan bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah dan semakan rekod mendapati suspek yang juga bapa mempunyai rekod lampau jenayah serta narkotik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis percaya penahanan ketiga-tiga itu dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Jasin, Melaka dan Muar, Johor.

“Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula Isnin lalu hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah.

“Jika disabitkan kesalahan seksyen ini memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini