Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Tiga beradik didakwa merompak guna kapak

KOTA BHARU: Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak empat mangsa dengan bersenjatakan kapak dalam empat kejadian, antara 24 April hingga 17 Julai lalu.Tertuduh, Wan Ahamad Syakir Idaham Mohd Noor, 19, yang bekerja sebagai buruh; Wan Mohamad Amirul Aizzat, 23; dan Che Aliff Afendi, 36, masing-masing penganggur.

Mengikut pertuduhan, Wan Mohamad Amirul Aizzat didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 19 tahun iaitu mengambil wang RM1,400 di Kampung Kok Lanas di sini, jam 8 pagi, pada 24 April lalu.

Tiga beradik, Wan Ahamad Syakir Idaham Mohd Noor, 19; Wan Mohamad Amirul Aizzat, 23; dan Che Aliff Afendi, 36, didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan merompak dengan bersenjatakan kapak di Kampung Kok Lanas dan di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok, Julai lalu. – Foto NSTP

Bagi pertuduhan lain, Che Aliff Afendi didakwa merompak seorang wanita berusia 40 tahun dengan bersenjatakan sebilah kapak sehingga mendatangkan kerugian RM159 di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok di sini, jam 1.35 tengah hari, pada 14 Julai 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan seterusnya, Wan Ahamad Syakir Idaham didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas merompak dan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun antara jam 8.30 pagi hingga jam 9 pagi, pada 15 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 KK yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Wan Ahamad Syakir Idaham dan Che Aliff Afendi didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan kapak terhadap dua mangsa berusia 20 dan 40 tahun di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok, 6.30 petang, pada 17 Julai 2023.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 395 KK dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tiga beradik itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi  serahan dokumen dan lantikan peguam.

Loading...
Terkini