Tumpuan :
Jenayah

“Tidak mahu bercakap…hanya tahu ABC, 123”

Polis belum dapat mengesan waris budak lelaki yang ditemui dengan kesan cedera disyaki didera dan ditinggalkan bersendirian di tepi jalan berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras, 13 Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Polis belum dapat mengesan waris budak lelaki yang ditemui dengan kesan cedera disyaki didera dan ditinggalkan bersendirian di tepi jalan berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras dekat sini, 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pelbagai usaha sudah dijalankan bagi mengesan keluarga atau waris kanak-kanak terbabit namun setakat ini, masih belum berhasil.

Katanya, sehingga kini kanak-kanak terbabit masih tidak boleh berkomunikasi dengan sempurna tetapi boleh menulis perkara asas pembelajaran huruf seperti ABC dan 123.

“Penterjemah warga asing juga sudah dipanggil untuk berkomunikasi dengan mangsa ketika berada dalam rawatan di hospital tetapi mangsa tidak memberikan sebarang reaksi yang positif untuk bercakap.

“Mangsa kini disahkan sihat, stabil dan masih berada di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang. Mangsa diserahkan untuk penjagaan serta pemantauan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai pelindung,” katanya kepada BH, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun ditemui orang awam ditinggalkan bersendirian di tepi jalan, kira-kira jam 11 malam pada 13 Januari lalu.

Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan terdapat beberapa kecederaan pada tubuhnya dipercayai kesan penderaan.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan sebelum ditempatkan di Wad Kanak-kanak hospital terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata polis kini masih meneruskan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan masih dijalankan dan sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis bersabit dengan kejadian ini.

“Kita sekali lagi menyeru supaya orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini segera memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Zaiyaudi Mohd Yaakub di talian 019-5355395.

Loading...
Terkini