KUALA LUMPUR: Tiada kejadian berbalas tembakan membabitkan pihak polis dan penjenayah di Taman Mulia Jaya, Ampang, seperti yang ditularkan di media sosial, malam tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Bagaimanapun, pihaknya mengesahkan ada insiden kejar-mengejar antara kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan sebuah kereta di lokasi itu, kira-kira jam 10 malam tadi.
“Kereta terbabit berjaya ditahan dan disahkan tiada kejadian tembakan sebagaimana yang dihebahkan di media sosial,” katanya yang turut memaklumkan maklumat penuh kejadian akan dikongsikan dalam masa terdekat.
Terdahulu, seorang pengguna TikTok memuat naik rakaman video berkaitan kejadian tangkapan itu dan mendakwa berlaku kejadian tembak membabitkan polis dan penjenayah.
Menurut perakam, kejadian berlaku di Taman Mulia Jaya, Ampang dan menerusi rakaman video itu, rakan perakam memaklumkan enam das tembakan dilepaskan dan dua suspek melarikan diri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.