Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya tawaran kerja dalam talian, pesara rugi lebih RM145,000

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang pesara swasta kerugian RM145,388 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 63 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menawarkan kerja sambilan membabitkan promosi barangan elektrik dalam talian dikenali ‘WEBRICOTS.SG. Madison’ pada 5 Disember lalu.

Katanya, mangsa dijanjikan komisen 25 peratus apabila mendaftar sebagai ahli syarikat dengan dua hingga lapan peratus komisen bagi setiap barangan elektrik dipromosikan.

“Mangsa mula membuat tugasan pertama pada 6 Disember lalu dan melakukan transaksi RM4,018 ke akaun diberikan suspek. Mangsa menghubungi suspek selepas tidak berminat dengan tugasan itu dan ingin menarik diri.

“Bagi mendapatkan semua keuntungan dijanjikan, suspek meminta mangsa membuat transaksi wang sehinggalah mangsa mula menyedari ditipu dan membuat laporan polis.

“Secara keseluruhan, mangsa membuat 14 transaksi ke 12 akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian RM145,388. Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan untuk transaksi yang dibuat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini