KUALA TERENGGANU: Ahli perniagaan menanggung kerugian lebih RM5.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 67 tahun melihat satu iklan di laman Facebook pada 1 September lalu mengenai tawaran pelaburan jual beli saham di China.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa dijanjikan akan memperoleh keuntungan dalam masa singkat jika mengeluarkan modal yang diuruskan pihak berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang berminat diarahkan memuat turun satu aplikasi dan diarahkan membuat bayaran pertama berjumlah RM30,000 seebaik mendaftar untuk memasukkan modal pelaburan ke dalam akaun bank tempatan.
“Melalui aplikasi itu, mangsa boleh melihat pergerakan jumlah keuntungan yang semakin meningkat sejak transaksi pertama.
“Keadaan itu mendorong mangsa melakukan transaksi kedua dan ketiga masing-masing RM50,000 dan RM20,000 bagi mendapatkan keuntungan yang lebih besar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Khairi berkata, percubaan mangsa membuat pengeluaran wang melalui aplikasi itu pada peringkat awal berjaya apabila mendapat RM89,800 sehingga menyebabkan dia yakin dengan pelaburan berkenaan.
Katanya, mangsa juga mendapati wang yang diterima adalah daripada akaun sebuah syarikat yang tidak dikenali.
“Ekoran itu, mangsa membuat transaksi sebanyak RM240,000 secara berperingkat yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank tempatan yang diberikan oleh ‘scammer’ bagi pembelian saham.
“Mangsa dimaklumkan akan menerima keuntungan daripada pembelian saham, namun perlu membuat bayaran sebanyak RM1 juta sebagai pembahagian keuntungan sekiranya mahu membuat pengeluaran ke atas keuntungan itu.
“Selepas membuat bayaran, mangsa dimaklumkan pengeluaran tidak dapat dibuat jika tidak membayar cukai menyebabkan mangsa membuat bayaran di kaunter bank tempatan sebanyak RM1,698,832.10,” katanya.
Menurutnya, scammer sekali lagi meminta mangsa membuat bayaran deposit sebanyak RM520,000 yang didakwa untuk siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Katanya, mangsa hanya menuruti arahan diberikan dengan membuat bayaran seperti yang diminta di kaunter bank tempatan.
“Mangsa melakukan 13 transaksi wang ke tujuh akaun bank tempatan yang berbeza dan mengalami kerugian berjumlah RM5,221,832.10 sepanjang urusan pelaburan itu.
“Apabila mengesyaki ditipu kerana tidak boleh mengeluarkan duit keuntungan selain terus diarahkan memasukkan duit, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.