Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya pulangan 20 peratus, wang simpanan lebih RM400,000 lesap 

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang kontraktor pembinaan berusia 65 tahun di daerah ini kerugian RM463,792 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, lelaki yang juga pesara kerajaan itu berminat menyertai satu skim pelaburan saham yang diterima melalui aplikasi WhatsApp pada awal bulan ini.

Katanya, mangsa mendakwa suspek menjanjikan pulangan 20 peratus bagi setiap modal yang dilaburkan melalui laman sesawang yang diberikan.

“Dalam tempoh 5 hingga 20 September lalu, mangsa membuat pemindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM463,792 kepada enam akaun yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek dan tidak dapat mengeluarkan sebarang keuntungan.

“Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada simpanan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini