
KUANTAN: Seorang peniaga di daerah ini, kerugian RM300,378 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 63 tahun itu berminat dengan pelaburan melalui satu laman sesawang kripto yang ditemukan di Facebook pada November lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya melayari satu laman sesawang dan mendaftar akaun pengguna.
“Mangsa memasukkan wang pelaburan sebanyak 10 transaksi kepada sembilan akaun berbeza dan hanya pernah mendapat pulangan sekali saja berjumlah RM20,698 dengan transaksi pertama pada 25 November 2024 hingga 5 Februari lalu.
“Selepas mendapat pulangan pada 1 Januari lalu, mangsa masih lagi memasukkan wang pelaburan dan melihat wang pelaburan bertambah tetap tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan.
“Mangsa juga diminta memasukkan lagi wang pelaburan jika hendak mengeluarkan wang keuntungan sebelum mangsa berasa ditipu. Jumlah kerugian mangsa berjumlah RM300,378. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai membuat semakan sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Katanya, jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
“Orang ramai juga dinasihat sekiranya ada menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.