comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya pelaburan emas murah, wanita rugi RM125,491 

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita di daerah ini kerugian RM125,491 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan emas.

Kejadian bermula apabila suri rumah berusia 30 tahun diperkenalkan dengan pakej emas murah yang ditawarkan sebuah syarikat menerusi kakak iparnya ketika berada di rumahnya kira-kira jam 6 petang pada 10 Ogos 2021.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata mangsa yang tertarik dengan penerangan itu menjadi ejen di bawah kakak iparnya sebelum membuat pembelian emas melalui transaksi secara dalam talian ke dua akaun iaitu akaun syarikat pelaburan dan akaun kakak iparnya.

Mangsa bagaimanapun tidak lagi menerima bayaran dan diberikan emas yang dibeli termasuk untuk ejen dan pelanggan di bawahnya bermula September 2023.

“Hasil perbincangan bersama pemilik syarikat itu pada November 2023, suspek bersetuju untuk membuat bayaran balik modal jual beli emas secara ansuran dan membuat surat perjanjian.

“Jumlah kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM127,991 namun, hingga 31 Disember tahun lalu, mangsa hanya menerima bayaran balik sebanyak RM2,500 untuk diagihkan kepada ejen-ejen dan pelanggan pengadu.

“Mangsa tidak menerima sebarang bayaran selepas itu dengan baki tertunggak sebanyak RM125,491,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis pada 18 April lalu.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan tindakan mengesan suspek sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita masih mengumpul bukti-bukti keterangan bagi tujuan pendakwaan,” katanya.

Mohd Khairi turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim-skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat.

Pelabur boleh mendapatkan pengesahan mengenai status pelesenan institusi kewangan yang terbabit dalam aktiviti pengambilan deposit yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau individu dan syarikat yang terbabit dalam aktiviti pelaburan yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti masing-masing di laman web www.bnm.gov.my dan www.sc.com.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini