comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya iklan pelaburan, wang lebih RM400,000 lesap 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Gara-gara terpedaya dengan iklan pelaburan menjanjikan pulangan lumayan, seorang lelaki kerugian lebih RM400,000 selepas ditipu individu bernama ‘Vincent’.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan mangsa berusia 60 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan pelaburan itu selepas melihatnya di laman sosial Facebook kira-kira 3 petang pada 20 Mei lalu sebelum meninggalkan nombor telefon.

“Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang individu bernama ‘Vincent’ yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh modal dilaburkan.

“Akibat tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa memberikan butiran akaun bank miliknya bagi urusan transaksi wang keluar masuk serta deposit membuka satu akaun atas nama Artisan Partners bagi memulakan pembelajaran dalam pelaburan saham itu.

“Mangsa juga melakukan 30 transaksi ke tujuh akaun berbeza bermula 25 Julai lalu hingga 2 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM461,900,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaburan, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM55,246 sahaja.

Katanya, mangsa cuba menuntut hasil keuntungan, tetapi taliannya disekat oleh ‘Vincent’ menyebabkan mangsa menyedari ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM406,654.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini