comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terlanggar Kanak-Kanak, Pemandu Cedera Mata Dan Patah Hidung Dibelasah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera pada mata dan patah hidung dipercayai akibat dibelasah dua individu selepas dia terlanggar seorang kanak-kanak berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, lelaki terbabit sedang memandu kereta dan dikatakan tidak sengaja terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang berjalan dengan ibunya.

“Kanak-kanak itu dipercayai hanya terkena pada bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta mangsa.

“Selepas menyedari perkara itu, mangsa dikatakan terus memberhentikan kenderaannya untuk membantu kanak-kanak terbabit. Bagaimanapun, tiba-tiba datang dua lelaki tidak dikenali didakwa menumbuk dan menendang mangsa bertubi-tubi serta merampas kunci keretanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat kejadian itu, Eng Lai berkata, mangsa yang berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan pada mata serta patah tulang hidung, dan kini dirawat di Hospital Selayang.

“Mangsa turut membuat laporan polis pada jam 11 pagi tadi, dan usaha mengesan dua lelaki terbabit sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, identiti dan jantina kanak-kanak terbabit tidak dapat dipastikan kerana mangsa mendakwa kanak-kanak itu serta ibunya terus menghilang selepas kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan cedera parah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melalui talian 03-40482222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, satu rakaman video tular melalui media sosial menunjukkan mangsa ditendang dan ditumbuk bertalu-talu oleh dua lelaki ketika dia masih berada di tempat duduk pemandu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini