LUNDU: Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk secara haram ke negara ini melalui laluan jalan ladang kelapa sawit di Biawak di sini gagal selepas kehadiran mereka dikesan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melakukan rondaan bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) di kawasan berkenaan.
Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur dalam satu kenyataan berkata, kesemua warga asing terbabit ditahan sekitar jam 11.45 pada jarak 125 meter daripada sempadan Malaysia-Indonesia.
“Semasa sedang melaksanakan rondaan di Sektor Op Awas/Keris Parang, anggota ronda tentera mendapati tiga orang lelaki dan seorang wanita dewasa sedang berjalan dari arah sempadan Indonesia cuba untuk merentas ke Malaysia.
“Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap empat orang PATI dalam lingkungan umur 26 hingga 50 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai,” katanya.
Kesemua warga asing terbabit kemudian dibawa ke kawasan sempadan Malaysia-Indonesia sebelum tindakan pengusiran dilakukan terhadap mereka.
Satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.
Kenyataan terbabit juga turut menyatakan ATM terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI dan jenayah rentas sempadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.