Tumpuan :
Jenayah

Tendang, Tumbuk Isteri Depan Empat Anak

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang seorang ibu mengajak anak lelaki sulung bekerja sambilan di kedai haiwan peliharaan, mengundang kemarahan suaminya sebelum ditumbuk dan ditendang di rumah mereka di Sungai Lalang, Bedong di sini, kelmarin.

Wanita berusia 37 tahun itu dilaporkan ditumbuk di muka dan ditendang di pinggang selepas pasangan itu bertengkar kira-kira jam 11 malam.

Mangsa dan suaminya yang berusia 39 tahun dikatakan bergaduh selepas lelaki itu mengetahui anak mereka mahu mengikut ibunya bekerja secara sambilan.

Difahamkan, suami mangsa enggan membenarkan anak lelaki remaja mereka bekerja dan berlaku kekecohan antara pasangan terbabit.

“Ketika bertengkar, suami wanita itu dipercayai tidak dapat mengawal kemarahan lalu menampar muka dan menendang pinggang isterinya.

“Wanita itu hanya mampu menahan kesakitan sambil disaksikan empat anaknya sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Sumber berkata, susulan laporan mangsa, polis menahan suspek yang ketika itu berada di rumah kira-kira jam 5 petang semalam.

Hasil siasatan, wanita itu mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kerap minum air ketum serta memanggilnya pelacur.

“Ia kali ketiga wanita berkenaan membuat laporan polis selepas menjadi mangsa pukul suaminya, namun menarik kembali laporan kerana kasihan, selain mendakwa mahu memberi peluang untuk lelaki itu berubah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mengesahkan menerima laporan mangsa dan penahanan suspek.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini