Oleh: Hilmi Abdul Malik
KAJANG: Polis menahan tiga individu termasuk teman lelaki susulan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua yang ditahan masing-masing berusia 16, 20, dan 51 tahun.
Datuk Hussein menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan, ketiga-tiga suspek itu juga telah direman selama enam hari bermula hari ini.
“Berikutan penemuan mayat ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengklasifikasikan semula siasatan kertas inkuiri orang hilang kepada siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat yang dijumpai di RTB Sungai Changgang telah reput dan tidak dikenalpasti melalui pengecaman fizikal dan bedah siasat telah dijalankan di hospital Banting,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak polis juga sedang menantikan hasil keputusan analisa DNA untuk memperoleh identiti sebenar mangsa berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas berlatih tarian singa di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu 11 Cheras dekat sini, pada 19 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dilaporkan berkata keluarga yang menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, membuat satu laporan polis pada jam 2.15 pagi, keesokannya.
Menurutnya, keluarga memaklumkan mangsa berlatih tarian singa di gelanggang bola keranjang terbabit dan sepatutnya terus pulang namun sehingga jam 10.30 malam, mangsa tidak pulang ke rumah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.