Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya merampas telefon pintar dan perkakas binaan tiruan dalam dua serbuan berasingan di Kota Marudu dan di Kota Kinabalu, kelmarin.
Semua barangan yang dirampas dalam Operasi Barang Tiruan bersama pemilik cap dagang itu dianggarkan keseluruhan bernilai RM145,634.50.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, operasi pertama dijalankan pada 26 Julai lalu di dua premis perniagaan perkakas Chainsaw jenama ‘STIHL’.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui dua unit Chainsaw, 41 unit mata gergaji, 22 unit bilah gergaji dan 62 unit Spark Plug yang disyaki tiruan bernilai RM8,471.
“Operasi kedua pula dijalankan di sekitar Kota Kinabalu bersama pemilik cap dagang berdaftar gajet untuk jenama “VIVO” di tiga premis perniagaan.
“Hasil serbuan di ketiga-tiga premis itu membawa kepada rampasan 818 unit Telefon Pintar Jenama Vivo Pelbagai Model, 253 unit USB Data Cable Jenama Vivo, dan 104 unit Travel Charger Quick Charge jenama Vivo yang disyaki tiruan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Georgie berkata, semua peralatan telekomunikasi yang berjaya dirampas itu dianggarkan bernilai RM137,163.50.
Kelima-lima pemilik premis perniagaan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
“Kes berkenaan juga akan disiasat mengikut Seksyen 102(1),(b) dan (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi pertubuhan perbadanan pula, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.
Georgie berkata, pihaknya akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.
Menurutnya lagi, para peniaga juga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.
“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.
KPDN ujarnya sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga menerusi aplikasi whatsapp ditalian 019-279 4317 dan 019-848 8000.
Maklumat turut boleh disalurkan melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my serta Call Centre 1-800-886-800.
Aduan juga boleh dihantar ke email di [email protected]; Ez ADU KPDNHEP atau hadir sendiri ke Pejabat KPDN berhampiran.