Tumpuan :
Jenayah

Tekong, 4 PATI ditahan kes dadah di Terminal Feri Kukup

PONTIAN: Seorang tekong warga tempatan dan empat pendatang tanpa izin (PATI) ditangkap di hadapan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini, semalam atas kesalahan dadah.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pada jam 12.10 malam, sepasukan polis daripada Markas Taktikal Marin Wilayah (2) berjaya menangkap suspek terbabit di hadapan Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

Katanya, tangkapan ketika menjalankan operasi ‘Op Landai Bersepadu’ bersama Pasukan Bahagian Jenayah Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

“Dalam operasi itu, sebuah kereta Honda City ditahan di hadapan lokasi berkenaan dan diperiksa kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta berkenaan terdapat seorang lelaki warga tempatan dipercayai tekong darat berusia 38 tahun dan termasuk empat warga Indonesia, seorang lelaki berusia 26 tahun, dua wanita berusia 20 dan 31 tahun berserta seorang bayi lelaki berusia 8 bulan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Shofee berkata, selain itu pemeriksaan lanjut turut menjumpai dadah jenis syabu anggaran berat 17.16 gram bernilai RM 1,887, berserta wang tunai sebanyak RM 10,300.

Katanya, jumlah rampasan termasuk sebuah kereta bernilai RM32,187.40, seorang tekong ditahan di bawah Seksyen 4 (5) SOSMA 2012 selama 28 hari.

Empat PATI akan ditahan di bawah Seksyen 5 (51) (b) Akta Imigresen selama 14 hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini