comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tauke salon nak pinjam RM200,000 sebaliknya diperdaya RM146,000

JOHOR BAHRU: Cubaan pemilik salon untuk meminjam wang RM200,000 daripada syarikat pinjaman wang di media sosial bukan sahaja gagal, malah dia pula diperdaya hingga hilang wang simpanan sebanyak RM146,020.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 28 tahun itu, kelmarin.

Katanya, mangsa diperdaya sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian selepas melihat iklan pinjaman di media sosial pada minggu lalu.

“Mangsa menghubungi nombor telefon yang terdapat pada iklan tersebut dan diterangkan kadar bayaran bulanan oleh pekerja syarikat terbabit.

“Mangsa berminat untuk membuat pinjaman RM200,000 dan telah memberikan salinan butiran peribadi serta penyata akaun bank kepada suspek untuk tujuan permohonan pinjaman.

“Suspek juga telah memperdaya mangsa dengan meminta membuat pembayaran setem duti dan kredit ‘scoring’ serta dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raub, mangsa memaklumkan telah mengikut arahan suspek dan membuat bayaran sebanyak RM146,020 dengan 16 transaksi ke beberapa akaun bank tempatan.

“Setelah pembayaran dibuat, suspek mendesak mangsa untuk membuat penambahan bayaran lagi bagi mendapatkan pinjaman wang. Namun mangsa enggan berbuat demikian.

“Hingga kini mangsa belum menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini