Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah dicekup bersama 56 kilogram ganja bernilai lebih RM173,000 di Lorong Seri Mahkota Permai, di sini, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 39 tahun berasal dari Kelantan itu dicekup di tepi jalan dan hasil pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek, polis merampas 54 ketul ganja.
Menurutnya, suspek dipercayai menyeludup dadah dari negara jiran dan bahan terlarang itu dihantar kepada pembekal di Kuantan.
Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Pahang dan polis tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu.
“Dadah itu dipercayai akan diagih kepada pembekal sebelum dijual kepada penagih,”
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,”
“Suspek mempunyai 13 rekod lampau bagi kesalahan dadah di beberapa negeri.” katanya pada sidang media sini, hari ini.
Noor Hisam berkata, kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara hingga 30 tahun dan sebatan.
Suspek direman tujuh hari hingga 22 Jun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.