Tumpuan :
Jenayah

Taktik sorok dadah dalam sabun pencuci pakaian tumpas

Oleh : Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Menyembunyikan dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik itu dipatahkan polis, melalui penahanan 3 lelaki warga tempatan, menerusi empat serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 32 hingga 61 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan sekitar Cheras, ibu negara dan Klang, Selangor.

“Hasil serbuan yang dijalankan, (JSJN) telah berjaya merampas dadah dianggarkan bernilai RM14.4 juta melibatkan methamphetamine 56 kilogram, ketamin 20 kilogram dan ekstasi 154.3 kilogram. ”

“Hasil saringan terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah. Seorang daripadanya mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM14.77juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita aset sindiket termasuk empat buat kenderaan, barang kemas dan wang tunai, bernilai kira-kira RM389,166.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Julai lalu sehingga 20 Julai depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini