ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah tongkang yang diubah suai bagi tujuan penyimpanan diesel, dipercayai untuk penyelewengan bahan api itu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Iskandar Ishak, berkata tongkang OCEANLINK235 itu ditahan melalui operasi khas bagi mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.
Katanya, serbuan dan penahanan ke atas tongkang itu dilakukan pada kedudukan 0.5 batu nautika Barat Laut Pulau Upeh, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 25 Ogos lalu.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan terdapat empat lori tangki di darat dan satu daripadanya sedang mengepam masuk minyak dipercayai diesel jenis Euro 5 ke dalam tongkang terbabit.
“Kita percaya sindiket ini baru aktif dan belum sempat menjual diesel berkenaan kepada mana-mana pihak ketiga.
“Dua penjaga tongkang, empat pemandu lori tangki dan seorang kelindan warga tempatan berusia lingkungan 31 hingga 59 tahun yang berada di darat turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau ada dalam kawalan, barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Iskandar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pemilik sebenar tongkang terbabit.
“Semua lori tangki, penjaga tongkang dan pemandu lori dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Anggaran keseluruhan rampasan minyak dan tongkang kira RM600,000. Jumlah diesel dirampas pula dianggarkan 130,000 liter tidak termasuk dalam tongkang yang memerlukan masa untuk dikira,” katanya.
Dalam pada itu, Iskandar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan kepada siapa diesel terbabit akan dijual. – BERITA HARIAN