TUMPAT: Lelaki tempatan dipercayai mengambil upah sebagai ‘transporter’ membawa minyak masak dibeli secara pukal dari kedai pemborong untuk diseludup ke negara jiran.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, lelaki berusia 45 tahun itu menggunakan kereta mahal yang masih baharu untuk memuatkan semua barangan kawalan itu, namun taktiknya gagal apabila dia ditahan kira-kira jam 9 malam tadi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Ismail, berkata lelaki berkenaan ditahan dalam operasi bersepadu pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
“Anggota kami ternampak kereta Nissan Almera di tepi jalan kawasan perumahan di Kampung Jejulok, di sini. Pemeriksaan kemudian menemui 51 kotak mengandungi 867 kilogram (kg) minyak masak peket 1 kilogram dengan anggaran nilai RM2,167.50.
“Seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun yang juga pemandu ditahan dan dia gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barang kawalan yang dimiliki,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Azman berkata, lelaki itu mengaku bertindak sebagai ‘transporter’ dan sudah lama menjalankan aktiviti penyeludupan dengan menerima sejumlah upah untuk membawa minyak masak ke pinggir Sungai Golok.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Kami tidak akan berkompromi dengan individu atau peniaga yang melanggar undang-undang.
“Kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya. – BERITA HARIAN