TANJUNG MALIM: Dua penjenayah yang melakukan samun berkumpulan dan dikenali dalam kalangan mangsa kerana sering mengungkap ayat ‘call polis, aku tak takut’ ditembak mati, hari ini.
Suspek berusia 29 dan 37 tahun itu meninggal dunia dalam insiden berbalas tembakan dengan polis berhampiran susur keluar Jalan Proton City-Tanjung Malim di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pasukan rondaan cegah jenayah Op Casa Muallim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesan suspek menaiki kereta Proton Persona di laluan berkenaan dan mengarahkan mereka berhenti.
“Namun suspek memecut laju sebelum terbabas. Ketika itu seorang daripada suspek melepaskan satu tembakan dari dalam kereta yang mengena kereta polis yang berada di hadapan mereka.
“Suspek berumur 29 tahun kemudian keluar dari kereta dan melepaskan satu lagi das tembakan yang mengena bahagian lampu kereta polis, disusuli suspek kedua berusia 37 tahun yang cuba menyerang dengan memegang sebilah parang panjang.
“Polis bertindak mempertahankan diri dan melepaskan tiga das tembakan kepada kedua-dua suspek menyebabkan mereka maut di tempat kejadian pada 5.20 pagi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir.
Zulkafli berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis SIG Seuer, sebutir peluru 9mm dalam kelopak dan sebutir dalam ‘chamber’ (silinder peluru), dua parang panjang, dua pasang sarung muka dan sarung tangan, dua plat pendaftaran kenderaan, enam butir kelongsong peluru saiz 9mm dan satu pemotong besi.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan adalah palsu, manakala suspek berumur 29 tahun mempunyai 20 rekod jenayah dan dadah, sementara seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah.
Menurutnya, polis mengesyaki kumpulan penjenayah itu dianggotai empat orang dan masih mengesan saki bakinya dipercayai warga tempatan.
Zulkafli juga berkata, dengan tangkapan itu pihaknya yakin menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah sekitar Tanjung Malim yang aktif sejak 2023.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.