Tumpuan :
Jenayah

Tak serik ditangkap 6 kali, penjual buah ditahan lagi jual ketum

Oleh: Selwam Arjunan

BALIK PULAU: Seorang penjual buah yang pernah ditahan enam kali atas kesalahan memproses dan menjual air daun ketum, sekali lagi ditahan atas kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam berkata suspek berusia 58 tahun ditahan bersama air daun ketum diproses bernilai hampir RM6000 di sebuah rumah di Kuala Jalan Baru, di sini, semalam.

“Hasil serbuan membawa kepada rampasan 600 bungkus air ketum yang telah siap untuk diedarkan bagi pasaran sekitar negeri ini bersama daun ketum serta peralatan memasak bahan tersebut.

“Siasatan juga mendapati sebungkus air ketum dijual pada harga RM10 kepada penduduk setempat.

“Selain itu, suspek turut menjalankan perniagaan menjual buah dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, pagi tadi.

Semakan mendedahkan suspek mempunyai lapan rekod lampau.

Enam daripadanya membabitkan tangkapan penjualan air ketum dan dua lagi bersabit kesalahan dadah.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga 5 Disember.

Siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini