Tumpuan :
Jenayah

Syabu bernilai RM7.8 juta dirampas dalam kenderaan mewah di Setiu

Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin menunjukkan dadah yang dirampas dalam kejadian di Kampung Rahmat.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

SETIU: Sindiket penyeludupan 210 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM7.8 juta ringgit berjaya dipatahkan pasukan polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu.

Dadah tersebut dirampas semasa polis membuat sekatan jalan raya di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Rahmat, jam 9 pagi kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin ketika ditemui mengesahkan perkara itu.

“Dadah berkenaan diseludup di dalam sebuah Vellfire berwarna hitam yang berhenti mengejut lebih kurang 100 meter dari sekatan jalan raya di sebelah kiri bahu jalan berhadapan sebuah restoran”.

“Polis kemudiaannya menghampiri kenderaan tersebut sebelum seorang pemandu lelaki keluar dari kenderaan itu dan berjaya meloloskan diri”, katanya.

Rentetan penahanan Vellfire, sebuah lagi kenderaan jenis pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan diekori polis di hadapan kedai tayar di Kampung Rahmat.

“Pemandu pacuan empat roda itu bertindak merempuh pasukan polis sebelum polis melepaskan tembakan ke tayar kenderaan itu dan berlaku aksi kejar mengejar. Bagaimanapun lelaki itu turut berjaya meloloskan diri dan meninggalkan kenderaan terbabit di ladang sawit”, ujarnya.

Polis terpaksa mendapatkan bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Setiu, untuk mengumpil pintu dua kenderaan terbabit.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda, polis menemui plat asal kenderaan milik MPV yang ditahan sebelum itu.

Dalam pemeriksaan dibuat ke atas MPV pula, polis menemui 6 guni dimana setiap guni berisi 35 paket plastik berisi ketulan syabu.

Terdapat satu lagi guni berisi 30 paket dadah jenis sama.

Polis tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan diseludup dari negara jiran sebelum dibawa ke Kelantan dan untuk dipasarkan di ibu negara terutama Kawasan Lembah Klang.

Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.

Jelas Datuk Khairi, jika dadah itu berjaya dibawa ke ibu negara, ia boleh digunakan oleh lebih 1.2 juta penagih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini