Tumpuan :
Jenayah

Syabu bernilai lebih RM8 juta dirampas

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pada sidang media kejayaan Polis Diraja Malaysia dalam menumpaskan Kegiatan Pengedaran Dadah Jenis Syabu di Daerah Lipis, Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan.

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Syabu seberat lebih 275 kilogram dianggarkan bernilai RM8.8 juta dirampas selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh sebuah motosikal di Kampung Padang Sasak, kira-kira jam 1 tengah hari, Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sejurus kemalangan itu, pemandu MPV berusia 67 tahun, yang membawa muatan dadah tersebut, cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan dalam keadaan tayar pancit.

Menurutnya, kemalangan itu turut menyebabkan penunggang serta pembonceng motosikal, dua remaja lelaki berusia 16 tahun parah dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Katanya, saksi kemalangan bertindak mengejar pemandu MPV terbabit sambil menghubungi polis.

“Polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan warga emas terbabit di Kampung Sungai Mu dekat Kuala Lipis.

“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 31 tahun tiba di lokasi kejadian dengan sebuah kereta untuk membantu warga emas terbabit.

“Bagaimanapun, mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan, dan polis bertindak menahan mereka. Hasil pemeriksaan dalam MPV yang dipandu warga emas itu menemui 13 plastik hitam mengandungi 261 bungkusan syabu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit bertindak sebagai “transporter” dan dipercayai menyeludup syabu tersebut dari sempadan negara ke Lembah Klang.

Menurutnya, saringan awal urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.Suspek direman tujuh hari hingga 13 Februari ini dan kes disiasat mengikut Sksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini