comscore
Tumpuan :
Jenayah

Syabu bernilai hampir RM700,000 dirampas di Hentian Rehat & Rawat Genting Sempah

BENTONG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah disyaki syabu bernilai hampir RM700,000, 18 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di kawasan parkir Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah.

“Penahanan lelaki tersebut dipercayai terlibat dengan aktiviti mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2024 dan dipercayai memperolehi bekalan dadah itu di Lembah Klang untuk pasaran tempatan.

“Ketika tangkapan, dadah ditemui diletak di tempat duduk belakang kereta jenis Honda Jazz, tangkapan ini, JSJN Pahang percaya telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan ini,” katanya di IPD Bentong, di sini, hari ini.

Katanya, hasil semakan pihak polis, suspek mempunyai tiga rekod atas kesalahan dadah dan ujian saringan awal polis mendapati urin suspek adalah negatif dadah.

“Modus operandi, urusan jual beli dadah dilakukan secara tunai dan suspek akan menghubungi pembekal untuk mendapatkan bekalan dadah tersebut.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 42,286 orang penagih dadah,” katanya.

Katanya, selain itu, sebuah motosikal jenis Vespa Sprint 150 ABS turut disita dianggarkan bernilai RM 20,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan bernilai RM 717,788.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan. Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Julai 2024 sehingga 25 Julai 2024 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini