KUALA LUMPUR: Lima lelaki warga asing yang menyerang pegawai penguat kuasa Maritim Malaysia di kawasan perairan Tanjung Rhu, Banting, awal pagi semalam disyaki cuba keluar dari negara ini secara tidak sah.
Kelima-lima mereka termasuk seorang yang terbunuh dilaporkan cuba keluar dari negara ini bersama sebahagian lagi individu lain yang masih bebas.
Mereka yang masih bebas ini juga disyaki cuba keluar melalui laluan tidak sah berkemungkinan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau terbabit dengan jenayah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menganggarkan sekitar 10 hingga 15 lagi individu yang masih bebas.
“Pada masa ini pihak polis sedang mengesan semua suspek lain yang dipercayai menaiki bot sama dengan lima individu yang ditembak.
“Siasatan juga sedang dijalankan sama ada mereka ini bersenjata atau tidak,” katanya kepada BH malam semalam.
Hussein berkata, empat suspek yang sedang mendapatkan rawatan akibat cedera ditembak kini berada dalam pengawasan ketat polis.
Tiga daripada mereka dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang manakala seorang lagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Terdahulu, media semalam melaporkan tiga lelaki yang cedera akibat ditembak dibawa individu tertentu dengan sebuah kereta Toyota Vios dan ditinggalkan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, pada jam 7.30 pagi (Jumaat).
Tiga lelaki terbabit dipercayai berenang ke pantai sejurus selepas kejadian tembak berlaku ketika dalam bot.
Ketika dibawa ke hospital pakaian dua daripada mereka basah, manakala seorang lagi mangsa hanya memakai seluar pendek.
Ketika tiba di hospital, ketiga-tiga mereka juga tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Ketika ditanya, semua individu terbabit memberikan alasan yang bercanggah mengenai kecederaan itu, namun pemeriksaan mendapati mereka cedera akibat tembakan.
Susulan kejadian itu, pentadbiran hospital membuat laporan polis berhubung penerimaan pesakit mencurigakan ini.
Seorang lagi individu yang juga cedera akibat tembakan ditemui dalam bot bersama satu mayat lelaki yang terbunuh akibat ditembak di Pantai Banting, sekitar jam 9 pagi semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.