
HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan pecah rumah di Hulu Bernam, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, jam 9.28 pagi.
“Semakan mendapati lelaki ini melakukan jenayah pecah rumah di beberapa lokasi sekitar Hulu Bernam.
“Polis merampas sebuah telefon bimbit dan dua jam tangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Asri berkata, suspek yang juga penganggur mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau, manakala ujian air kencingnya positif syabu.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.