
KUANTAN: Suspek kes bunuh seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemui di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, 13 Februari lalu, mempunyai rekod lampau berkaitan kes judi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan mendapati suspek berusia 53 tahun itu sebelum ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, suspek yang direman sehingga Jumaat ini juga didapati sentiasa berpindah randah.
“Setakat ini, siasatan masih diteruskan. Polis turut merakam keterangan beberapa individu termasuk mereka yang melihat mangsa berhampiran sungai dan ahli keluarga bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sabtu lalu, polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes bunuh wanita terbabit di sebuah rumah, di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi.
Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan perjudian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.