Tumpuan :
Jenayah

Suspek kes bunuh Norshamira direman seminggu

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Gelandangan berusia 53 tahun direman seminggu mulai hari ini, bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang peniaga wanita di tepi Sungai Kuantan, dekat Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, Khamis lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria di lokap Kompleks Mahkamah Kuantan, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Suspek ditahan di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, susulan penahan suspek, polis turut merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

Mayat Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dan beberapa barang kemas mangsa dilaporkan hilang.

Wanita terbabit dilaporkan ke lokasi kejadian lewat petang Rabu lalu untuk menghantar tempahan sambal bilis kepada suspek.

Bagaimanapun mangsa tidak pulang hingga awal pagi Khamis.

Suami wanita terbabit ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa dan menemui mayat Norshamira dalam keadaan mengerikan di tepi sungai.

Polis yakin dengan tertangkapnya lelaki yang mempunyai beberapa rekod jenayah terbabit, pihak berkuasa dapat menyelesaikan siasatan kes pembunuhan peniaga terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini