MUAR: Suspek yang diburu polis kerana disyaki membunuh dan membakar rumah hingga mengorbankan ibu bapa serta anak saudara perempuannya di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat lalu sudah melarikan diri ke lokasi lain.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis percaya suspek Azman Mohamed, 48, tidak lagi berada dalam daerah ini selepas kejadian terbabit.
“Setakat ini polis masih mengesan keberadaan suspek dan siasatan masih dijalankan daripada pelbagai sudut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa lelaki berkenaan dipercayai melarikan diri dengan menunggang motosikal Honda Wave berwarna merah.
“Selepas kejadian itu, kelibatnya langsung tidak kelihatan dan penduduk ada juga mencarinya di sekitar Pagoh tapi tidak menemuinya.
“Malah, penduduk di sini turut mengawal kawasan rumah mangsa kerana bimbang sesuatu berlaku,” katanya.
Suspek disifatkan seorang pendiam dan kurang bercampur dengan penduduk setempat selain tidak mempunyai telefon bimbit.
Dia yang masih bujang antara individu tinggal bersama-sama keluarga terbabit di rumah berkenaan.
Kebakaran rumah itu mengorbankan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, bersama isteri, Ara Abdul Hamid, 76, dan cucunya, Noradriana Nor Hasyim, 11, manakala seorang cucu lain Norazima Mohd Radhi, 14, berjaya menyelamatkan diri.
Terdahulu, polis menyiasat kes terbabit mati mengejut sebelum mengklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] 3 sekeluarga maut dalam kebakaran rumah
- Polis cari Azman Mohamed bagi bantu siasatan kes tiga rentung di Pagoh
- Kebakaran 3 rentung: Ima nampak saya lalu terus peluk – Saudara mangsa
- ‘Keadaan anak saya mukanya hancur disebabkan bekas ketukan’ – Bapa Noradriana
- Kematian tiga sekeluarga dalam kebakaran ada unsur jenayah, polis buru Azman