comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek kelar leher lelaki OKU ditahan polis, positif dadah 

KLUANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki mengelar leher seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menggunakan sebilah pisau lipat di hadapan sebuah kedai runcit jam 1.50 tengahari semalam, di Taman Kluang Barat.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kes berkenaan kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari bahagian jenayah telah turun padang dan berjaya memberkas seorang lelaki berumur 45 tahun di sebuah stesen minyak berdekatan Taman Bersatu dekat sini, kira-kira jam 6.17 petang.

Katanya, hasil soal siasat terhadap lelaki berkenaan, suspek mengaku melakukan perbuatan itu.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Morphine. Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini