KEMAMAN: Polis menahan seorang lagi lelaki menjadikan jumlah suspek kes pukul Orang Kelainan Upaya (OKU) mental dalam kejadian yang berlaku di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Jumaat lalu kini sudah enam orang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden, Wan Muhamar Wan Ja’afar mengesahkan penahanan suspek keenam terbabit.
Menurutnya, suspek yang berusia 35 tahun itu ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, kira-kira jam 1.50 petang semalam.
“Sebelum ini, kita telah menahan lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun menjadikan sudah enam kita tahan untuk siasatan.
“Pihak polis sedang menyiapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut dan kita minta orang ramai tampil bagi membantu polis,” katanya.
Sementara itu, suspek keenam terbabit dibawa polis ke Mahkamah Majistret Kemaman, pagi ini untuk mendapat perintah tahanan reman.
Majistret, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin kemudiannya membenarkan perintah tahanan reman ke atas suspek selama tiga hari bermula hari ini.
Ia bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sementara itu, Sharifah Amirda Shasha turut membenarkan reman terhadap suspek keempat yang berusia 32 tahun disambung dua hari lagi.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa lelaki OKU terbabit yang berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada jumaat, kira-kira jam 9.30 pagi.
Mangsa dipukul dipercayai selepas motosikal yang ditunggannya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.
Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.