comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek gaduh, korek bebola mata direman 4 hari

TASEK GELUGOR: Suspek lelaki warga asing yang mengorek mata seorang lelaki tempatan dalam insiden pergaduhan di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, di sini, petang semalam, direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, suspek direman bermula hari ini hingga Rabu bagi siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek berusia 30-an itu ditahan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Tasek Gelugor sejurus kejadian berkenaan.

“Polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan dan membuat tangkapan ke atas suspek.

“Suspek dibenarkan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis masih tidak dapat merakamkan keterangan mangsa berikutan dia sedang menjalani pembedahan mata di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kita menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat di talian 04- 576 2222 (sambungan 2244) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berdepan situasi mengerikan apabila bebola mata kirinya dikorek lelaki warga asing dalam pergaduhan di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, semalam.

Insiden kira-kira jam 2 petang itu tercetus dipercayai apabila suspek berang dengan tindakan mangsa berusia 52 tahun yang dikatakan sering mengganggunya.

Difahamkan, mangsa yang dipercayai dalam keadaan mabuk bergaduh dengan suspek mengakibatkan lelaki itu bertindak mengorek keluar bebola mata kiri mangsa menggunakan tangannya.

Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir ke lokasi kejadian menemui bebola mata berkenaan tidak jauh daripada mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini