KUALA LUMPUR: Lelaki berusia 42 tahun yang disyaki menikam ibu dan bapanya sampai mati di rumah mereka di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala, di sini malam tadi, mempunyai sembilan rekod kes jenayah berkaitan dadah.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran tetapi dapat ditangkap kira-kira jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur.
“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.
Beliau memberitahu polis menemukan kesan tikaman pada tubuh pasangan suami isteri warga tempatan itu.
Mangsa lelaki berusia 82 tahun dan isterinya berusia 72 tahun.
Terdahulu, polis menerima laporan kejadian pergaduhan membabitkan suspek dengan ibu bapanya pada jam 7.43 malam.
Polis yang ke lokasi menemukan pasangan suami isteri warga emas dalam keadaan terbaring di atas lantai rumah dipercayai dibunuh akibat ditikam.
“Berikutan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields melakukan gerakan memburu suspek.
“Suspek akhirnya berjaya ditangkap pada hari yang sama, kira-kira jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur. Dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh dua jam 40 minit,” katanya.