Tumpuan :
Jenayah

Suspek dakwa sering dibuli, dipulau penduduk jadi punca bakar 9 rumah

ALOR SETAR: Kebimbangan penduduk di Kupang, Baling berikutan kes kebakaran misteri yang berlaku secara bersiri sejak Disember tahun lalu berakhir apabila polis berjaya menahan seorang suspek dipercayai terbabit melakukan kegiatan itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil siasatan mendapati, suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah malam Isnin lalu.

Beliau berkata, dendam dipercayai menjadi punca lelaki itu bertindak membakar sembilan rumah di Kupang dekat sini sejak hujung bulan lalu hingga awal bulan ini.

“Suspek yang juga penganggur dan penduduk di Kupang itu ditahan pada tengah malam kelmarin.

“Kesemua sembilan kes khianat dengan api yang dilakukan suspek adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Kebakaran menyebabkan sebuah rumah musnah, selain kereta dan motosikal milik penduduk di Kampung Bukit Terabak, Kupang. – FOTO: Ihsan Bomba

Difahamkan, suspek juga dipulaukan penduduk setempat, dengan sebahagian daripada mangsa mengenali suspek.

Fisol berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku sejak 24 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya percaya disebabkan perasaan dendam, dia bertindak membakar sembilan rumah tersebut dengan kerugian tertinggi sebanyak RM300,000.

Fisol berkata, suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Difahamkan, modus operandi suspek adalah dengan mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum ia merebak ke rumah penduduk.

Kebakaran sembilan rumah dipercayai berlaku antara 2 pagi hingga 5 pagi, menyebabkan dua kenderaan dan 18 motosikal terbakar, dengan kerugian sebanyak RM770,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini