DUNGUN: Polis telah menahan suami kepada wanita berusia 41 tahun, yang maut akibat dibelasah dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Buletin TV3 mengesahkan kejadian itu yang berpunca akibat perselisihan faham di antara pasangan suami isteri itu.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Rubiah Sabtu seorang peniaga di kampung berkenaan.
Hasil siasatan awal polis juga mendapati, suspek berusia 32 tahun tidak terlibat dengan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas tukul besi yang digunakan suspek.
Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Dungun, esok.
Sementara itu suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.
Selepas mangsa dibunuh, suspek keluar dari rumah dan pergi ke rumah datuknya yang terletak tidak jauh dari lokasi sebelum memberitahu seorang kakaknya, dia telah membunuh isteri dengan tukul besi sambil menangis dan ketakutan.
Suspek kemudian pulang semula ke rumah sambil menangis melihat isterinya sudah tidak bernyawa terbaring di ruang tamu.
Lelaki itu dilaporkan cuba membunuh diri kerana ketakutan dan dapat dipujuk ahli keluarga dan jiran .
Keluarga suspek kemudiannya menghubungi polis dan memujuk lelaki itu menyerah diri sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Besi.
Pasangan berkenaan dikatakan baru mendirikan rumah tangga, tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 6 bulan.
Mangsa adalah peniaga di kampung berkenaan dan mempunyai enam anak hasil perkahwinan sebelum ini.