PASIR GUDANG: Wanita yang disyaki mengelar bayinya sehingga mati semalam, sempat memberikan kuih donat sebagai juadah berbuka puasa kepada jiran-jirannya sehari sebelum kejadian tragis itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang jiran yang enggan namanya disiarkan dan mengaku cukup terkejut dengan kejadian menimpa mangsa berusia setahun enam bulan, di kawasan perumahan mereka di Taman Cahaya Masai, di sini.
“Mereka sekeluarga sempat memberi donat kepada kami sekeluarga dan jiran-jiran yang lain,” katanya sambil memaklumkan tidak pernah melihat atau mendengar suara bayi itu menangis atau pasangan terbabit bertengkar di rumah mereka.
Tambahnya, pasangan itu kerap bertegur-sapa apabila berjumpa jiran dan wanita itu pula selalu dilihat membawa anaknya keluar berjalan-jalan.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana disyaki mengelar leher bayi lelakinya sebelum menghantar gambar mangsa yang berlumuran darah kepada suami melalui kiriman WhatsApp, semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dipetik berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.30 tengah hari berhubung kes seorang bayi berusia setahun enam bulan maut, dipercayai dikelar ibu kandung di sebuah kawasan perumahan dekat Pasir Gudang.
Suspek, 32 tahun, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang lagi jiran yang juga enggan dikenali pula mendakwa mengetahui insiden tragis itu kira-kira jam 1 tengah hari, selepas seorang jiran lain meminta pertolongan.
Katanya, sebaik tiba di rumah suspek, dia ternampak badan bayi itu berlumuran darah di ruang tamu, manakala ibunya duduk diam di depan bayi itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.