comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suri rumah rugi RM690,000, terpedaya pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang suri rumah berusia 42 tahun di daerah ini kerugian RM690,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, mangsa berminat dengan tawaran pelaburan melalui aplikasi WhatsApp dan mendaftar dalam sistem yang bernama `Ying Trade’ diberikan suspek pada 17 Julai lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya diberikan latihan untuk membeli saham melalui pautan yang diberikan pada Julai dan Ogos lalu.

“Dalam tempoh 17 September hingga 14 Oktober lalu, mangsa membuat sebanyak 25 transaksi kepada dua akaun bank yang diberikan suspek sehingga mengalami kerugian berjumlah RM690,000.

“Sebelum itu, mangsa juga menerima pulangan dalam anggaran RM50,000 tetapi bertindak melabur semula dalam skim pelaburan terbabit.

“Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada simpanan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Loading...
Terkini