comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suri rumah rugi lebih RM53,000 ditipu kenalan TikTok

Foto hiasan

SEGAMAT: Seorang suri rumah warga tempatan berputih mata apabila wang simpanannya bernilai RM53,600 lebur ditipu individu menawarkan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, mangsa yang berusia 43 tahun membuat laporan polis dua hari lalu di mana dia telah mengenali suspek sejak September lalu.

“Menurut mangsa, dia telah berkenalan dengan individu dalam talian di laman sosial TikTok dan menawarkan pekerjaan dalam talian dengan menjadi pihak ketiga bagi urusan pembelian barang di aplikasi berkenaan.

“Mangsa kemudiannya telah bersetuju dan mengisi butiran peribadi ke dalam laman web yang diberikan individu tersebut.

“Seterusnya mangsa diminta untuk menaikkan rating penjual di laman web tersebut dengan membuat pembelian barangan dan akan peroleh komisen mengikut harga barangan tersebut.

“Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak sembilan transaksi ke empat akaun bank yang berbeza bernilai RM53,600 namun sehingga kini mangsa tidak memperolehi wang dan komisen yang dijanjikan,”katanya ketika ditemui di IPD Segamat hari ini.

Ujar Ahmad Zamry, siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menawarkan komisyen yang tinggi bagi setiap penugasan yang dibuat oleh mangsa.

Pihak polis menyarankan supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau boleh memuat turun aplikasi Semak Mule di Google Playstore sebelum membuat sebarang transaksi.

“Masyarakat khususnya pesara-pesara kerajaan dan swasta adalah dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada tawaran kerja dalam talian yang diiklankan melalui laman sosial.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Info line melalui talian 013-2111222.

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, hubungi segera National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun bank suspek,”kongsinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini