comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sunyi Sejak Azi Diculik

TUMPAT: Ejen jualan kosmetik yang juga mangsa culik, Rosnazirah Mohd Naim, tidak pernah bercerita perihal peribadi, sebaliknya sangat komited dalam urusan perniagaan yang diceburinya sejak tiga tahun lalu.

Seorang rakan niaganya yang ingin dikenali sebagai Su, 30-an, mendakwa kehilangan wanita itu sangat mengejutkan dan menganggap sesuatu yang pelik kerana mangsa yang disifatkan sangat baik hati, dipercayai tiada musuh.

Su berkata, sejak kehilangan Rosnazirah pada petang Selasa lalu, kumpulan WhatsApp dan Telegram perniagaan mereka sudah sepi daripada komen mangsa.

“Azi (nama panggilan kepada Rosnazirah) seorang yang sangat komited dengan perniagaannya dan menjalankan beberapa jualan produk dan boleh dikatakan tidak pernah duduk diam kerana selalu mengikuti kelas atau bengkel berkaitan.

“Sejak kehilangannya, kumpulan WhatsApp kami terus sunyi daripada kata-kata perangsangnya dan agak terkesan kerana dia sangat aktif memberi dorongan.

“Kehilangannya sangat mengejutkan kami kerana sepanjang mengenalinya, Azi tidak pernah bercerita perihal masalah peribadinya apatah lagi mencari musuh sebaliknya hidup sehariannya hanyalah mengenai perniagaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 5.10 petang Selasa lalu, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dari rumahnya dekat Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Siasatan awal pihak polis mendapati suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

Seorang lagi rakan perniagaannya yang enggan dikenali meluahkan sedih apabila membaca banyak kecaman diterima keluarga mangsa, berhubung kejadian dan susulan kes itu.

Wanita berusia 28 tahun itu mendakwa, sepanjang tempoh dia mengenali Azi, mangsa sangat suka membantu sesiapa sahaja bukan hanya dalam kalangan kenalan tapi juga mereka yang tidak dikenali.

“Ramai juga yang bersikap seolah tahu apa yang berlaku di sebalik kejadian penculikan mangsa dengan mengaitkannya dengan kemewahan yang ditunjukkan Azi dalam media sosial.

“Bagi saya, itu normal kerana selain mendapatkan keyakinan orang ramai akan kejayaan sesuatu perniagaan itu, saya percaya kesenangan yang dimiliki Azi adalah hasil usahanya sendiri yang sudah tiga tahun berkecimpung dalam perniagaan.

“Dia dan keluarganya sangat baik dan saya berjumpanya kali terakhir dua bulan lalu ketika mengadakan satu majlis di rumahnya namun tidak mengesan apa-apa yang tidak kena terhadap dia dan keluarga sebaliknya mereka kelihatan baik-baik sahaja,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini