Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Aktiviti sepasang suami isteri mengedar pelbagai jenis dadah menggunakan minuman susu kultur dan jus bernilai RM206,511 terbongkar selepas diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Banda Hilir, di sini, Sabtu lalu.
Suspek lelaki tempatan berusia 34 dan isterinya, warga warga Thailand 28 tahun diberkas sepasukan polis dari Bahagaian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan selama seminggu, suspek pertama diberkas pada pukul 8.30 malam di tempat parkir di sebuah pangsapuri di Banda Hilir pada 21 Januari lalu.
“Pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai sejumlah jus (3,910 mililiter) dan serbuk (75.6 gram) disyaki ketamin dalam sebuah beg kain yang digalasnya.
“Hasil soal siasat membawa kepada serbuan kedua di sebuah premis di pangsapuri berkenaan yang dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan disyaki dadah dan seorang wanita yang juga isteri suspek pertama ditahan,” katanya pada kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Menurut Christopher, pasangan terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak Disember lalu dan bekalan diperoleh dari Kuala Lumpur serta Johor untuk dipasarkan di pusat hiburan di negeri ini.
“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, kita merampas sejumlah botol minuman ringan dan kultur pelbagai jenis disyaki cecair ketamin membabitkan jumlah 56,700 mililiter, serbuk ketamin (2134.37 gram), pil ekstasi (229 gram), ketulan mampat daun kering ganja (33.53 gram) dan pil eramin 5 (144 gram).
“Kita percaya minuman kultur dan jus ini telah dicampurkan dengan ketamin bagi mengaburi kegiatan pengedaran bekalan berkenaan yang boleh digunakan seramai 3,669 penagih,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas dan wang tunai bernilai RM25,680 yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut.
Christopher berkata, bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu mendapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari sehingga 26 Januari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.